Coretan

Ilmu Tanpa Jiwa: Kematangan Akal

Zaman kini merupakan era post-truth (pasca-kebenaran); satu fasa di mana kebenaran bukan lagi menjadi keutamaan yang dicari. Sebaliknya, apa yang lebih diburu adalah maklumat yang selesa dengan tuntutan nafsu serta kepentingan peribadi mahupun kelompok tertentu.

Pada zaman dahulu, sebelum ledakan teknologi, capaian maklumat sangat terhad. Masyarakat tidak didedahkan kepada perbahasan yang kompleks melainkan perkara yang telah dimuktamadkan mengikut kadar zaman tersebut menerusi autoriti tertentu.

Sebagai contoh, dalam urusan agama, ilmu hanya diserap melalui Tuan Guru, para ustaz, dan ulama yang masuk ke kampung-kampung serta penempatan. Mereka mengajar menggunakan perbahasan umum yang telah disepakati pada ketika itu.

Contoh yang paling ketara adalah sekitar era 80-90-an. Kita lazimnya melihat orang ber-qiam dalam solat dengan meletakkan kedua-dua pergelangan tangan pada kedudukan sedikit ke kiri dari ulu hati. Jika ada yang meletakkannya di tengah, pasti akan ada yang menegur. Hal ini berlaku kerana pada era tersebut, sebahagian ulama Jawi yang mengajar hanya menggunakan satu qaul (pandangan) daripada Imam al-Ghazali RH. Secara umumnya, majoriti masyarakat tidak mengetahui adanya pendapat-pendapat lain yang juga diterima dalam perbahasan mazhab.

Apabila era teknologi muncul, khususnya menerusi YouTube yang menjangkau seluruh pelosok negara, dan para ulama mula bergerak dan menyebarkan ilmu termasuk cabang-cabang perbahasannya dengan lebih mudah. Kita mula terbiasa melihat masyarakat bertelagah tentang “mana satu yang betul? dulu diajar begitu dan begini” hanya kerana mereka pernah diajar secara satu hala sebelum ini. Dahulunya, orang awam tidak dilimpahkan dengan perincian ilmu melainkan bagi mereka yang mengambil pengkhususan dalam bidang tersebut.

Hari ini, perbahasan ilmu tersebar dengan sangat meluas. Setiap juzuk perkara dalam sesuatu bidang ilmu kini mempunyai perbahasan yang mendalam. Ada yang menentang dengan hujah tertentu, dan ada yang mengabsahkannya dengan hujah yang lain. Keadaan ini menatijahkan kekeliruan bagi sesiapa yang tidak mempunyai asas dalam metodologi perbahasan ilmu. Akhirnya, mereka cenderung meninggalkan disiplin ilmu tersebut lalu sekadar mengikut apa yang diingini oleh nafsu.

Natijah daripada limpahan maklumat tanpa sekatan ini, ilmu-ilmu yang bermanfaat tidak lagi dilihat dalam kerangka perbahasan yang mampu meningkatkan kecerdasan akal. Sebaliknya, ia sekadar menjadi bacaan umum yang hilang “jiwanya”, asbab kebanjiran maklumat yang tidak seiring dengan tahap kematangan akal untuk memproses apa yang dikonsumsi.

Sekadar satu penelitian untuk catatan peribadi – 30/5/2026